Isnin, 31 Ogos 2009

Saingan kreativiti asli dengan pemikiran sains
Oleh Mohamad Radzi Mustafa

Setiap budaya mempunyai keaslian atau kreativitinya sendiri. Orang Jepun dan Bali adalah dua contoh yang jelas yang mana produk-produk teknologi Jepun dan seni kraf Bali amat menyerlah. Jika kita meneliti produk-produk kedua-dua negara ini, Jepun memang ke hadapan dalam sains dan teknologi. Barangan teknologi Jepun seperti cerek elektrik, periuk masak, dapur, mesin basuh, radio, alatan muzik terdapat di mana-mana di dunia.
Orang Bali tidak mengeluarkan barangan-barangan ini. Namun, jika anda pergi ke Pulau Bali, anda akan terpegun dengan kreativiti yang melimpah-ruah di mana-mana di pulau tersebut. Kain batik, lukisan, seni kraf, ukiran tangan pada kayu dan batu dan sebagainya. Persoalan yang ingin saya ketengahkan ialah mengapakah orang Bali tidak dapat menggunakan kreativitinya sebagaimana orang Jepun mengembangkannya?
Semacam terdapat dua jenis aliran iaitu kreativiti yang diasaskan kepada pemikiran asli yang tradisi dan satu lagi kreativiti yang lebih moden yang dapat dilihat daripada barangan berasaskan sains.
Mengapakah kreativiti bangsa Cina hanya terhenti kepada rekaan-rekaan ini sahaja? Manusia seluruh dunia terpaksa menunggu kebangkitan bangsa Eropah mereka cipta televisyen, radio, kereta, kapal selam, helikopter, kereta api, basikal, motorsikal dan lain-lain, sebelum mereka dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini.
Pemikir-pemikir Islam pun tidak berupaya mencipta benda-benda ini walaupun kegemilangan Islam berlaku tidak begitu jauh dengan kebangkitan bangsa Eropah berbanding dengan tamadun Cina.
Jika bangsa Cina sungguh kreatif mereka sepatutnya berupaya mencipta benda-benda ini tetapi jelas mereka tidak melakukannya. Saya rasa jawapannya terletak kepada pemikiran kreatif yang dilandaskan kepada ilmu sains.
Kreativiti yang berlaku sebelum perkembangan sains moden di Eropah pada abad ke-19, membawa orang Melayu hingga ke kepulauan Hawaii, Christmas dan Marquesas jauh ke timur. Begitu juga dengan Orang Asli Australia. Kreativiti mereka telah membantu mereka mencipta ubat-ubatan daripada tumbuhan setempat.
Semua bangsa jika diteliti mempunyai kreativiti tertentu yang membolehkan mereka mencipta alat-alat atau ubatan bagi membantu mereka hidup dengan lebih sempurna. Saya cadangkan kreativiti sebegini dipanggil kreativiti asli oleh sebab semua bangsa di dunia ini menunjukkan kreativiti asli sedemikian. Dan kreativiti dalam sains moden dipanggil kreativiti sains.
Kreativiti asli bagi saya berkait dengan pemikiran parokial sesuatu bangsa. Bangsa Melayu telah memahami alamnya dengan caranya tersendiri sebelum kedatangan orang India, Cina, Arab, dan Eropah untuk menawan pemikiran asli mereka. Oleh itu, pemikiran asli mereka telah dikelodakkan oleh pemikiran bangsa-bangsa yang datang ke Tanah Melayu ini. Pemikiran bangsa Melayu sekarang bukan lagi asli Melayu. Pemikiran mereka adalah pemikiran asli campur aduk pemikiran asli India, Cina, Arab dan Eropah.
Ingin saya nyatakan bahawa semua pemikiran asli adalah logik dan rasional. Tidak seperti yang dikatakan oleh ahli sains bahawa hanya pemikiran sains adalah logik dan rasional. Pemikiran-pemikiran ini adalah logik dan rasional oleh sebab bagi setiap pemikiran yang diwujudkan, pemikiran tersebut dapat menyelesaikan masalah yang timbul dalam konteks di mana pemikiran ini digunakan. Sebagai contoh, jika dalam satu komuniti parokial seperti di pulau-pulau Oceania, komuniti tersebut mempercayai bahawa gunung berapi mengeluarkan laharnya disebabkan penunggu gunung berapi tersebut sedang marah terhadap sebab tertentu, ini adalah pemikiran logik dan rasional bagi komuniti tersebut.
Kedatangan sains moden merubah segalanya. Pemikiran sains juga menerangkan perjalanan alam ini seperti pemikiran parokial setiap bangsa di dunia ini. Namun, setelah dibantu oleh alat-alat yang dapat melihat objek seni dan yang paling besar, serta proses persetujuan komuniti sains yang terdiri daripada pelbagai bangsa, penerangan yang logik dan rasional yang bergantung kepada penerangan yang hanya dilakukan oleh minda telah beralih kepada penerangan yang bertitik tolak daripada pemerhatian berdasarkan sebab dan akibat dalam alam semula jadi.
Pemikiran sains begini berbeza daripada pemikiran parokial yang asli yang dipunyai oleh setiap bangsa dalam dunia. Pemikiran sains telah berjaya memberi kreativiti yang berbeza kepada pemiliknya. Dengan pemikiran begini terciptalah lampu elektrik, kapal terbang, laser, televisyen, radar dan sebagainya.
Saya tidak percaya yang ciptaan-ciptaan ini dapat diwujudkan menggunakan kreativiti daripada pemikiran asli. Seperti kreativiti yang melimpah-ruah di kaki-kaki lima di Pulau Bali, kreativiti jenis ini adalah berbeza daripada kreativiti sains. Kreativiti daripada pemikiran asli berkait dengan pemikiran parokial bangsa tersebut.
Oleh itu, barangan yang dicipta sangat berkait rapat dengan ideologi atau kepercayaan pegangan sesuatu bangsa itu. Bangsa Jepun walaupun maju dalam sains dan teknologi, masih meneruskan pemikiran parokial ini bersama-sama pemikiran sainsnya. Sebab itulah kita katakan ciptaan-ciptaan bangsa Jepun nampak sungguh Jepun seperti ciptaan-ciptaan bangsa Bali sungguh Bali.
Bagaimanapun, pemikiran asli yang parokial ini tidak menjamin pemikiran sains yang menghasilkan kreativiti sains. Sebab itulah bangsa Cina dahulu kala dan orang Bali pada ketika ini tidak berjaya menerokai ciptaan-ciptaan yang berasaskan sains. Ini memerlukan penguasaan ilmu sains yang berbeza daripada ilmu parokial yang ditemui dan dianggap benar di sekitar penempatan sesuatu bangsa itu.
Jepun mempunyai jumlah orang yang memahami sains dan berupaya menggunakan pemikiran sains mereka untuk mencipta barangan yang berasaskan sains. Barangan Jepun yang dihasilkan oleh pemikiran sains ini tidak menunjukkan kesinambungan rekaan dengan ciptaan tradisi. Radio, mesin basuh, pemain video, cakera padat, televisyen, telefon semuanya mempunyai rupa bentuk yang dapat dicipta oleh negara-negara lain di dunia ini. Mesin basuh dari Malaysia, Itali atau Korea misalnya kelihatan semuanya sama.
Sains bersifat universal kerana sains melibatkan perjalanan realiti yang semua bangsa berkongsi - dunia fizikal. Dengan itu, pemikiran parokial setempat tidak memainkan peranan untuk mengawal cara mana sesuatu ciptaan sains itu sepatutnya dibentuk. Radio buatan India, China, Jepun, ataupun Samoa (jika mereka mencipta radio satu hari nanti) akan semua kelihatan sama kecuali mungkin warna dan corak lukisan di atasnya.
Pemikiran asli akan hanya melahirkan kreativiti asli yang bersifat parokial atau kedaerahan, manakala pemikiran sains melahirkan kreativiti sains yang berkaitan dengan perjalanan alam semula jadi. Kedua-dua pemikiran dan kreativiti yang terhasil oleh pemikiran-pemikiran ini berbeza. Untuk menghasilkan rakyat yang berdaya saing dalam bidang di peringkat dunia, masyarakat pribumi harus menitik-beratkan lagi pemikiran sains.
Pemikiran begini akan menghasilkan barangan yang benar-benar dapat ber-tanding di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, pemikiran asli mungkin dapat membantu membezakan dari aspek luaran seperti warna dan corak, identiti produk hasilan suatu bangsa itu.

- Mohamad Radzi Mustafa ialah Ketua Eksekutif Uforia, Universiti Teknologi Mara, Perak.
ARKIB : 09/11/2002


sumber:-

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1109&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive (27.8.09-11.30am)

Pendapat saya:

Apa yang diutarakan oleh Mohamad Radzi Mustafa adalah suatu pandangan yang menarik. Sebenarnya apabila kita membicarakan tentang kreativiti di dalam bidang reka cipta, ilmu seni dan sains tidak harus dipisahkan. Seni dan sains sebenarnya saling memerlukan. Seni memperlihat unsur keindahan dan estetik, manakala sains menjelaskan aspek fungsi. Rangkuman unsur seni dan sains akan melahirkan rekaan yang indah dan berfungsi dengan baik.

Kalau dibandingkan dari aspek penyediaan makanan orang Jepun, mereka akan menghasilkan dekorasi yang indah bagi melambangkan keenakan makanan. Makanan yang paling enak tidak mencukupi jika tidak dipersembahkan dengan menarik. “Makanan yang enak dimakan dahulu oleh mata” . Jadi tidaklah menghairankan sebenarnya jika rekaan mereka yang sofistikated turut menitik beratkan soal estetika. Gabungan ilmu seni dan sains akan menjadikan pelajar berkembang secara seimbang dari perkembangan otak kanan dan otak kiri. Sungguh malang apabila kedua-dua bidang ini dipisahkan, sedangkan dunia barat sudah mula kembali melihat kembali pembelajaran yang bergabungjalin. Seniman agung Leonardo da Vinci adalah contoh terbaik tokoh yang seimbang ilmunya sama ada sains atau seni. Albert Einstein pula sangat terkenal di dalam bidang sains, tetapi beliau juga sebenarnya seorang pemain biola yang handal.

Perkembangan kurikulum negara kita sebenarnya masih boleh dipertingkatkan dan diperbaiki. Jika dibandingkan dengan negara jiran pun, kita mungkin akan ketinggalan jika tiada perubahan-perubahan dalam pelbagai sektor dalam pendidikan. Ini sebenarnya sebuah kesediaan kita menjadi negara yang maju. Kajian-kajian terhadap kurikulum dan pengurusan pendidikan negara maju mesti dirujuk untuk dijadikan panduan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan