Isnin, 31 Ogos 2009

Saingan kreativiti asli dengan pemikiran sains
Oleh Mohamad Radzi Mustafa

Setiap budaya mempunyai keaslian atau kreativitinya sendiri. Orang Jepun dan Bali adalah dua contoh yang jelas yang mana produk-produk teknologi Jepun dan seni kraf Bali amat menyerlah. Jika kita meneliti produk-produk kedua-dua negara ini, Jepun memang ke hadapan dalam sains dan teknologi. Barangan teknologi Jepun seperti cerek elektrik, periuk masak, dapur, mesin basuh, radio, alatan muzik terdapat di mana-mana di dunia.
Orang Bali tidak mengeluarkan barangan-barangan ini. Namun, jika anda pergi ke Pulau Bali, anda akan terpegun dengan kreativiti yang melimpah-ruah di mana-mana di pulau tersebut. Kain batik, lukisan, seni kraf, ukiran tangan pada kayu dan batu dan sebagainya. Persoalan yang ingin saya ketengahkan ialah mengapakah orang Bali tidak dapat menggunakan kreativitinya sebagaimana orang Jepun mengembangkannya?
Semacam terdapat dua jenis aliran iaitu kreativiti yang diasaskan kepada pemikiran asli yang tradisi dan satu lagi kreativiti yang lebih moden yang dapat dilihat daripada barangan berasaskan sains.
Mengapakah kreativiti bangsa Cina hanya terhenti kepada rekaan-rekaan ini sahaja? Manusia seluruh dunia terpaksa menunggu kebangkitan bangsa Eropah mereka cipta televisyen, radio, kereta, kapal selam, helikopter, kereta api, basikal, motorsikal dan lain-lain, sebelum mereka dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini.
Pemikir-pemikir Islam pun tidak berupaya mencipta benda-benda ini walaupun kegemilangan Islam berlaku tidak begitu jauh dengan kebangkitan bangsa Eropah berbanding dengan tamadun Cina.
Jika bangsa Cina sungguh kreatif mereka sepatutnya berupaya mencipta benda-benda ini tetapi jelas mereka tidak melakukannya. Saya rasa jawapannya terletak kepada pemikiran kreatif yang dilandaskan kepada ilmu sains.
Kreativiti yang berlaku sebelum perkembangan sains moden di Eropah pada abad ke-19, membawa orang Melayu hingga ke kepulauan Hawaii, Christmas dan Marquesas jauh ke timur. Begitu juga dengan Orang Asli Australia. Kreativiti mereka telah membantu mereka mencipta ubat-ubatan daripada tumbuhan setempat.
Semua bangsa jika diteliti mempunyai kreativiti tertentu yang membolehkan mereka mencipta alat-alat atau ubatan bagi membantu mereka hidup dengan lebih sempurna. Saya cadangkan kreativiti sebegini dipanggil kreativiti asli oleh sebab semua bangsa di dunia ini menunjukkan kreativiti asli sedemikian. Dan kreativiti dalam sains moden dipanggil kreativiti sains.
Kreativiti asli bagi saya berkait dengan pemikiran parokial sesuatu bangsa. Bangsa Melayu telah memahami alamnya dengan caranya tersendiri sebelum kedatangan orang India, Cina, Arab, dan Eropah untuk menawan pemikiran asli mereka. Oleh itu, pemikiran asli mereka telah dikelodakkan oleh pemikiran bangsa-bangsa yang datang ke Tanah Melayu ini. Pemikiran bangsa Melayu sekarang bukan lagi asli Melayu. Pemikiran mereka adalah pemikiran asli campur aduk pemikiran asli India, Cina, Arab dan Eropah.
Ingin saya nyatakan bahawa semua pemikiran asli adalah logik dan rasional. Tidak seperti yang dikatakan oleh ahli sains bahawa hanya pemikiran sains adalah logik dan rasional. Pemikiran-pemikiran ini adalah logik dan rasional oleh sebab bagi setiap pemikiran yang diwujudkan, pemikiran tersebut dapat menyelesaikan masalah yang timbul dalam konteks di mana pemikiran ini digunakan. Sebagai contoh, jika dalam satu komuniti parokial seperti di pulau-pulau Oceania, komuniti tersebut mempercayai bahawa gunung berapi mengeluarkan laharnya disebabkan penunggu gunung berapi tersebut sedang marah terhadap sebab tertentu, ini adalah pemikiran logik dan rasional bagi komuniti tersebut.
Kedatangan sains moden merubah segalanya. Pemikiran sains juga menerangkan perjalanan alam ini seperti pemikiran parokial setiap bangsa di dunia ini. Namun, setelah dibantu oleh alat-alat yang dapat melihat objek seni dan yang paling besar, serta proses persetujuan komuniti sains yang terdiri daripada pelbagai bangsa, penerangan yang logik dan rasional yang bergantung kepada penerangan yang hanya dilakukan oleh minda telah beralih kepada penerangan yang bertitik tolak daripada pemerhatian berdasarkan sebab dan akibat dalam alam semula jadi.
Pemikiran sains begini berbeza daripada pemikiran parokial yang asli yang dipunyai oleh setiap bangsa dalam dunia. Pemikiran sains telah berjaya memberi kreativiti yang berbeza kepada pemiliknya. Dengan pemikiran begini terciptalah lampu elektrik, kapal terbang, laser, televisyen, radar dan sebagainya.
Saya tidak percaya yang ciptaan-ciptaan ini dapat diwujudkan menggunakan kreativiti daripada pemikiran asli. Seperti kreativiti yang melimpah-ruah di kaki-kaki lima di Pulau Bali, kreativiti jenis ini adalah berbeza daripada kreativiti sains. Kreativiti daripada pemikiran asli berkait dengan pemikiran parokial bangsa tersebut.
Oleh itu, barangan yang dicipta sangat berkait rapat dengan ideologi atau kepercayaan pegangan sesuatu bangsa itu. Bangsa Jepun walaupun maju dalam sains dan teknologi, masih meneruskan pemikiran parokial ini bersama-sama pemikiran sainsnya. Sebab itulah kita katakan ciptaan-ciptaan bangsa Jepun nampak sungguh Jepun seperti ciptaan-ciptaan bangsa Bali sungguh Bali.
Bagaimanapun, pemikiran asli yang parokial ini tidak menjamin pemikiran sains yang menghasilkan kreativiti sains. Sebab itulah bangsa Cina dahulu kala dan orang Bali pada ketika ini tidak berjaya menerokai ciptaan-ciptaan yang berasaskan sains. Ini memerlukan penguasaan ilmu sains yang berbeza daripada ilmu parokial yang ditemui dan dianggap benar di sekitar penempatan sesuatu bangsa itu.
Jepun mempunyai jumlah orang yang memahami sains dan berupaya menggunakan pemikiran sains mereka untuk mencipta barangan yang berasaskan sains. Barangan Jepun yang dihasilkan oleh pemikiran sains ini tidak menunjukkan kesinambungan rekaan dengan ciptaan tradisi. Radio, mesin basuh, pemain video, cakera padat, televisyen, telefon semuanya mempunyai rupa bentuk yang dapat dicipta oleh negara-negara lain di dunia ini. Mesin basuh dari Malaysia, Itali atau Korea misalnya kelihatan semuanya sama.
Sains bersifat universal kerana sains melibatkan perjalanan realiti yang semua bangsa berkongsi - dunia fizikal. Dengan itu, pemikiran parokial setempat tidak memainkan peranan untuk mengawal cara mana sesuatu ciptaan sains itu sepatutnya dibentuk. Radio buatan India, China, Jepun, ataupun Samoa (jika mereka mencipta radio satu hari nanti) akan semua kelihatan sama kecuali mungkin warna dan corak lukisan di atasnya.
Pemikiran asli akan hanya melahirkan kreativiti asli yang bersifat parokial atau kedaerahan, manakala pemikiran sains melahirkan kreativiti sains yang berkaitan dengan perjalanan alam semula jadi. Kedua-dua pemikiran dan kreativiti yang terhasil oleh pemikiran-pemikiran ini berbeza. Untuk menghasilkan rakyat yang berdaya saing dalam bidang di peringkat dunia, masyarakat pribumi harus menitik-beratkan lagi pemikiran sains.
Pemikiran begini akan menghasilkan barangan yang benar-benar dapat ber-tanding di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, pemikiran asli mungkin dapat membantu membezakan dari aspek luaran seperti warna dan corak, identiti produk hasilan suatu bangsa itu.

- Mohamad Radzi Mustafa ialah Ketua Eksekutif Uforia, Universiti Teknologi Mara, Perak.
ARKIB : 09/11/2002


sumber:-

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1109&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive (27.8.09-11.30am)

Pendapat saya:

Apa yang diutarakan oleh Mohamad Radzi Mustafa adalah suatu pandangan yang menarik. Sebenarnya apabila kita membicarakan tentang kreativiti di dalam bidang reka cipta, ilmu seni dan sains tidak harus dipisahkan. Seni dan sains sebenarnya saling memerlukan. Seni memperlihat unsur keindahan dan estetik, manakala sains menjelaskan aspek fungsi. Rangkuman unsur seni dan sains akan melahirkan rekaan yang indah dan berfungsi dengan baik.

Kalau dibandingkan dari aspek penyediaan makanan orang Jepun, mereka akan menghasilkan dekorasi yang indah bagi melambangkan keenakan makanan. Makanan yang paling enak tidak mencukupi jika tidak dipersembahkan dengan menarik. “Makanan yang enak dimakan dahulu oleh mata” . Jadi tidaklah menghairankan sebenarnya jika rekaan mereka yang sofistikated turut menitik beratkan soal estetika. Gabungan ilmu seni dan sains akan menjadikan pelajar berkembang secara seimbang dari perkembangan otak kanan dan otak kiri. Sungguh malang apabila kedua-dua bidang ini dipisahkan, sedangkan dunia barat sudah mula kembali melihat kembali pembelajaran yang bergabungjalin. Seniman agung Leonardo da Vinci adalah contoh terbaik tokoh yang seimbang ilmunya sama ada sains atau seni. Albert Einstein pula sangat terkenal di dalam bidang sains, tetapi beliau juga sebenarnya seorang pemain biola yang handal.

Perkembangan kurikulum negara kita sebenarnya masih boleh dipertingkatkan dan diperbaiki. Jika dibandingkan dengan negara jiran pun, kita mungkin akan ketinggalan jika tiada perubahan-perubahan dalam pelbagai sektor dalam pendidikan. Ini sebenarnya sebuah kesediaan kita menjadi negara yang maju. Kajian-kajian terhadap kurikulum dan pengurusan pendidikan negara maju mesti dirujuk untuk dijadikan panduan.

Isnin, 10 Ogos 2009

Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah Tinggi Brownsburg


Kurikulum Pendidikan Seni Sekolah Menengah Brownsburg dirangka dengan penglibatan seluruh tenaga kerja pakar meliputi penaung, guru dan penasihat yang pakar dalam falsafah, kandungan dan garis panduan pengajaran. Ia bertujuan memudahkan guru menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran. Kurikulumnya juga dirangka dengan melihat perbezaan individu dan guru berperanan untuk menjalankan aktiviti pengayaan atau pemulihan berdasarkan kebolehan pelajar.

Misi Pendidikan Seni pula menegaskan kepentingan aplikasi teknologi dalam penyelesaian masalah dan peluang-peluang baru dalam pembangunan kreativiti. Pelajar sentiasa digalakkan untuk meluahkan idea dan perasaan melalui bidang kesenian. Seni halus dan kebudayaan juga saling berkaitan antara sekolah dan masyarakat. Pelajar seharusnya memahami warisan seni dan perhubungannya dengan masa dan tempat. Estetika, emosi, spiritual dan alam turut ditekankan untuk pembangunan minda.

Ahli Jawatan Kuasa sekolah yang dipilih untuk subjek Pendidikan Seni keseluruhannya adalah profesional dan mahir di dalam bidang berkaitan. Kurikulum yang ditulis dinyatakan melalui penanda aras dengan modul pengajaran yang lengkap. Ini termasuklah pengetahuan sedia ada pelajar, persoalan-persoalan, aras-aras kemahiran, aktiviti pembelajaran, tugasan untuk penilaian, kriteria penilaian dan sumber rujukan.



Sukatan yang digubal untuk peringkat K9-12 termasuklah:-
· PENGENALAN 2 D
· PENGENALAN 3 D
· SERAMIK 1
· SERAMIK 2
· LUKISAN 1
· LUKISAN 2
· KOMUNIKASI VISUAL
· CATAN 1
· CATAN 2
· ARCA 1
· ARCA 2
· GRAFIK KOMPUTER 1
· GRAFIK KOMPUTER 2
· STUDIO SENI

Kurikulum Pendidikan Seni Sekolah Menengah Tinggi Brownsburg menjurus kepada empat kriteria iaitu Sejarah Seni, Kritikan Seni, Estetika dan Penghasilan Karya Seni.
Sejarah Seni memerlukan pelajar mencari makna, perlambangan, hala tuju, artifak dan kajian mendalam tentang sejarah dan analisis hasil karya dari pelbagai zaman dan budaya. Sejarah beerti peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau. [1]


Dr. D’zul Haimi Md.Zain (2000:20) pula memberi penjelasan Pensejarahan Seni Visual bermaksud perihal penulisan sejarah yang menjurus kepada seni visual.[2]


Dr. Zakaria Ali (2000:43) menjelaskan aspek kepentingan tarikh dalam pensejarahan seni. Mensejarahkan objek seni memerlukan susunan catan, arca figura, bangunan, ukiran, tembikar, alatan yang bertarikh. Bahan yang tidak bertarikh boleh diteka tarikhnya berdasarkan rupa, rasa dan bentuk khususnya objek purba.[3]


Melalui sejarah seni, pelajar didedahkan tentang bagaimana sejarah, sosial dan politik mempengaruhi ekpresi seniman. Juga tentang fungsi kesenian Barat dan perbezaan budaya tamadun lain. Tugasan pelajar untuk aspek sejarah seni adalah seperti berikut;

Pelajar dikehendaki menyediakan proposal dalam satu muka surat:-

Pelajar sebagai kurator sebuah muzium dikehendaki membuat pilihan satu karya seni dari gerakan Pop yang paling menonjol.


Pelajar dikehendaki membentangkan hujah dan mempertahankan pilihan anda dihadapan lembaga pengarah muzium.


Berdasarkan tugasan yang diberikan, pelajar sebenarnya sudah pun didedahkan kepada aspek pekerjaan sebenar sebagai seorang kurator. Di samping pelajar perlu memahami aliran seni Pop dalam kajian, pelajar turut didedahkan budaya mempertahankan hujah sebagaimana keadaan sebenar dalam pengurusan muzium.



Penilaian untuk aspek ini dijalankan menggunakan sistem rubrik. Rubrik adalah penilaian yang bersifat fleksible dan membolehkan guru menilai dengan lebih mendalam dan tepat. Penggunaan rubrik juga membolehkan penilaian terhadap objektif kurikulum, kemahiran, sifat pelajar, aspek lisan dan penulisan dinilai bersama. Bagi menilai penulisan sejarah seni, beberapa kriteria markah esei telah digariskan.

Esei ‘A’
Menjelaskan kajian subjek yang mendalam.
Tesis yang disokong oleh contoh-contoh yang konkrit dan terpeinci.
Dipersembahkan dengan tersusun.
Ayat dan perenggan yang sangat baik.
Tiada kesalahan tatabahasa yang besar.



Esei ‘B’
Menjelaskan kajian subjek yang tidak begitu mendalam berbanding esei gred ‘A’.
Tesis mengandungi contoh yang konkrit dan terpeinci tetapi masih perlukan sokongan tambahan.
Dipersembahkan kurang tersusun.
Ayat dan perenggan yang baik.


Tiada kesalahan tatabahasa yang besar tetapi mengandungi kesalahan tatabahasa yang kecil.

Esei ‘C’
Menjelaskan kajian subjek yang tidak begitu mendalam.
Tesis tidak mengandungi contoh yang konkrit dan terpeinci.
Dipersembahkan dalam struktur yang tidak tersusun.
Ayat dan perenggan yang kurang baik.
Terdapat kesalahan tatabahasa yang besar dan mengandungi kesalahan tatabahasa kecil.

Esei ‘D’
Tiada kajian subjek yang mendalam.
Tesis tidak jelas.
Terdapat kesalahan besar dalam struktur kajian.
Ayat dan perenggan yang lemah dan memberi masalah kepada pembaca.
Terdapat kesalahan tatabahasa yang besar dan mengandungi kesalahan tatabahasa kecil.
Tidak mencapai tahap minimum standard penulisan esei.



Esei ‘F’
Gagal dalam kajian.
Tesis lemah tanpa sokongan contoh dan maklumat terpeinci.
Struktur kajian salah.
Ayat dan perenggan yang lemah, tidak teratur dan memberi masalah kepada pembaca.
Terdapat kesalahan tatabahasa yang besar dan pengulangan kesalahan tatabahasa kecil.
Tidak mencapai tahap minimum standard penulisan esei.

Selepas standard esei ‘F’, dinyatakan juga aspek minimum penulisan seperti berikut, yang sekurang-kurang boleh dicapai oleh setiap pelajar.

Standard Minimum Penulisan
Esei mestilah disokong dengan contoh dan ilustrasi.
Esei mestilah tidak mempunyai ayat tergantung.
Esei mestilah tidak mempunyai tiga kesalahan ejaan perkataan.
Esei mestilah tidak mempunyai pengulangan kesalahan tatabahasa.
Esei mestilah kemas dengan format percetakan yang betul.



Kritikan Seni memerlukan pelajar mencari makna, perlambangan, hala tuju melalui kajian secara kritis tentang karya kontemporari dan seniman, membuat kajian peranan kritikan seni dalam masyarakat, membuat kritikan seni terhadap kaedah, kekuatan dan kelemahan karya pelajar. Pelajar didedahkan tentang bagaimana seorang seniman mengetahui proses kreatifnya sempurna. Juga peranan siapa seharusnya menjelaskan makna seni.

Tugasan pelajar:-


Pelajar dikehendaki menyediakan persembahan powerpoint mengenai karya potret oleh Chuck Close beserta penerangannya :-




  • Anda sebagai pengkritik seni dikehendaki menulis rencana tentang karya potret oleh Chuck Close.


  • Rencana ringkas mestilah mengandungi 10 potret yang dihasilkan dengan pelbagai teknik dan medium.


  • Anda dikehendaki mempertahankan karya pilihan anda dalam bentuk persembahan powerpoint.


Penilaian tugasan ini juga menggunakan rubrik. Penilaian adalah berdasarkan persembahan PowerPoint dengan rajah skala markah 1-5. Setiap projek diperuntukkan 20 markah. Penjelasan terhadap apa yang dinilai juga diber penjelasan.


Detail 1 2 3 4 5
Kelancaran 1 2 3 4 5
Imej 1 2 3 4 5
Kesempurnaan 1 2 3 4 5
JUMLAH



Detail:
Imformasi yang valid dan sesuai.


Kelancaran:

Persembahan yang lancar dari mula hingga akhir.


Imej:
Imej yang sesuai dan tepat dengan tajuk.


Kesempurnaan:
Adakah persembahan memberikan maklumat baru dan diperlukan oleh pemerhati.
Estetika memerlukan pelajar mencari makna, perlambangan, hala tuju, kajian mendalam tentang seni dan artifak dan respon peribadi terhadap semulajadi seni, refleksi terhadap definisi seni, penilaian terhadap idea dan perhubungan seni dan masyarakat secara umum.

Pelajar didedahkan tentang :-


Adakah seni memberi gambaran masyarakat atau masyarakat memberi gambaran seni.
Apa penjelasan tentang panduan estetik yang boleh diterimapakai.
Bagaimana estetika diberi definisi melalui pandangan peribadi

Perkataan Estetik berasal daripada bahasa Yunani yang bererti pencerapan, persepsi, pengalaman, perasaan, dan pemandangan. Ia pertama kali digunakan oleh Baumgarten pada 1762 untuk menunjukkan keindahan dalam kesenian. Dick Hartoko(1984:15)[4]



Dr.Zakaria Ali pula memberi penjelasan tentang estetika Melayu yang terdiri daripada enam prinsip, iaitu Halus, Berguna, Bersatu, Berlawan, Berlambang, dan Bermakna. Zakaria Ali(1989:206)[5]




Tuan Syed Ahmad Jamal(1992:1) pula menjelaskan estetika bererti sesuatu yang berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekan aspek kegunaannya.[6]

Tugasan pelajar
Sebagai seorang calon perwakilan pelajar, anda dikehendaki menyediakan koleksi karya bekas pelajar yang dinilai oleh wakil ibu bapa. Sediakan ringkasan lengkap mengenai karya untuk mesyaurat perwakilan pelajar.

Penghasilan karya seni memerlukan pelajar mencari makna, perlambangan, hala tuju karya sendiri. Pelajar menghasilkan karya pelbagai idea dan boleh menyelesaikan masalah bersama portfolio. Media pelbagai termasuklah charcoal, marker, pastel,catan dan peplbagai kajian media baru.

Pelajar didedahkan tentang bagaimana proses artistik seperti :-
Bagaimana bentuk dan fungsi berhubungkait.
Adakah media berlainan lebih mempengaruhi aspek emosi pemerhati.
Adakah elemen dan prinsip seni memainkan peranan dalam aspek kreativiti dan pemahaman seni.

Kerjaya dan Masyarakat
· Apakah bidang-bidang kerjaya di dalam seni visual?
· Apakah sumbangan seniman kapada masyarakat?
· Apakah yang dimaksudkan seniman profesional?

Tugasan
Pengarah Kolej Seni Columbia di Chicago, telah meminta anda menyediakan tri-fold brochure tentang pelbagai jenis kerjaya yang sesuai untuk graduan kolej tersebut. Pihak Fakulti Seni akan menilai brochure tersebut dari aspek kualiti dan manfaatnya kepada graduan.

BHS RUBRIC SENI VISUAL
PENILAIAN “THE FIVE C’S”

Content:
Semua kandungan dinyatakan


Craftsmanship:
Berkemahiran. Boleh menguasai media untuk mendapatkan sesuatu kesan yang diingini.


Creativity:
Berinovasi, tulen, istimewa, stail individu.


Communication:
Komunikasi visual jelas.


Composition:
Bijaksana mengatur elemen seni dan prinsip rekaan.



Jumlah mata berdasarkan kriteria yang diperoleh:-


5
Terdapat semua kriteria. Terdapat bahan tambahan yang bersesuaian
Karya menunjukkan kemahiran tinggi dalam penggunaan medium, berestetika dengan teknik yang menakjubkan.
Idea berkarya yang luar biasa, unik dan kreatif.
Mesej visual yang jelas, mudah difahami, pelajar menulis respon yang mendalam tentang istilah, konsep dan idea.
Penggunaan elemen seni dan prinsip rekaan yang dirancang dengan kemahiran tinggi.



4
Terdapat semua kriteria, namun tiada bahan tambahan
Karya menunjukkan kemahiran tinggi dalam menggunakan medium, memperlihatkan ketekunan.
Karya yang kreatif dan memperlihatkan ketekunan melebihi apa yang dikehendaki.
Mesej visual yang jelas, mudah difahami, pelajar menulis respon yang tentang istilah, konsep dan idea.
Penggunaan elemen seni dan prinsip rekaan yang dirancang dengan baik.



3
Kebanyakan kritiria seni diperolehi.
Karya seni yang baik dengan kemahiran dan kefahaman terhadap medium.
Idea yang berhubungan dengan perasaan. Namun masih berhubungan dengan konsep asal.
Terdapat komunikasi visual , namun mesej agak sukar difahami.
Karya masih kelihatan tersusun dengan sedikit kelemahan elemen seni dan prinsip rekaan.



2
Kebanyakan kriteria diperolehi tetapi tidak dipersembahkan dengan baik.
Karya seni yang siap tetapi dihasilkan dengan cuai.
Idea permulaan yang baik, namun karya akhir mirip kepada konsep asal.
Kesukaran dalam menyampaikan mesej..
Lemah dalam perancangan elemen seni dan prinsip rekaan.



1
Hanya satu atau dua kriteria diperolehi dan tidak dipersembahkan dengan baik.
Karya disiapkan dengan beberapa segera, banyak kecacatan, teknik yang lemah, tidak mahir dengan media.
Gagal dalam mencari idea yang baik.
Visual tidak dapat menyampaikan mesej.
Elemen seni dan prinsip rekaan tidak digubah dengan baik.

RUBRIK UNTUK SEMINAR
Gred diberikan berdasarkan aspek yang dibincangkan dalam seminar.

Penyusuanan
Penyusunan idea dengan pemikiran dan idea yang bernas.

Tatabahasa
Penggunaan tatabahasa yang betul.

Kreativiti
Kreatif memberi respon.

Eye Contact
Perhubungan mata yang baik ketika berkomunikasi.


RUBRIK UNTUK SERAMIK
TEKO



Kreatif

Ketukangan

Persembahan

Fungsi

Detail

Items

Warna

Bentuk

Kesatuan tema

Siap pada masanya




Definisi :
1. Kreatif : penghasilan teko yang tulen.
2. Ketukangan : hasil karya yang baik dan halus.
3. Persembahan: kesan keseluruhan yang baik.
4. Fungsi: teko berfungsi dengan baik dan tidak bocor.
5. Detail: item kecil berfungsi dan perlu penghasilannya.
6. Items: semua item lengkap.
7. Warna: warna sesuai dengan tema dan digunakan sebaiknya.
8. Bentuk: bentuk yang baik daripada pelbagai sudut.
9. Kesatuan tema: tema yang mempunyai kesatuan untuk keseluruhan item.
10. Siap pada masanya: karya dapat dihasilkan pada masa yang diberikan.


Bibliografi:




Dick Hartoko, Manusia dan Seni, Penerbit Kanisius, Yogyakarka. 1983

Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1993.

Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual 2000, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 2000.

Syed Ahmad Jamal,Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.


http://www.brownsburg.k12.in.us/

Zakaria Ali, Dr, Seni dan Seniman Esei-esei Seni Halus, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989.







[1] Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1993.m.s.1133
[2] Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual 2000, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 2000 m.s. 20
[3] Ibid.m.s. 43
[4] Dick Hartoko, Manusia dan Seni, Penerbit Kanisius, Yogyakarka, 1983.ms.
[5] Zakaria Ali, Dr, Seni dan Seniman Esei-esei Seni Halus, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989. m.s. 206
[6] Syed Ahmad Jamal,Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992. m.s. 1

Sabtu, 18 Julai 2009

Sayembara Puisi





Masuk tahun ni, aku pun dah tak ingat berapa kali aku membaca puisi di depan khalayak. Tapi tahun ini lain sikit, sebab saringan dibuat di Tugu Negara (Saringan 27 Jun, Akhir 4 Julai). Dah macam-macam asam garam dengan sayembara ni. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku dan rakan-rakan 'orang lama' berehat. Tahun depan kita jangan masuklah.... bagilah orang-orang baru. Balik-balik muka sama saja!!


Mana-mana penganjuran pun tak ada yang sempurna. Kadangkala lucu bila memikirkan(macam-macam cerita). Yang minat membaca puisi pun tak lah ramai sangat. Ada negeri yang bilangan peserta boleh dibilang dengan jari. Carilah jalan meriahkan sayembara puisi kita ni. Kita nak sangat ada pembaharuan dalam sayembara ni, tapi macam dulu juga akhirnya.


Bagaimana soal memasyarakatkan puisi merdeka. Rasanya kita perlu mencari khalayak supaya masyarakat cintakan puisi dan negara. Janganlah minta khalayak datang tengok kita. Keluarga dan kawan-kawan kita sajalah yang datang tengok. Media juga tak berapa nak tulis. Siaran langsung Peringkat Kebangsaan ?? Belum pernah. Beginikah caranya kita cintakan negara, sedangkan berapa banyak siaran TV kita hanya hiburan semata. Kita sebenarnya belum begitu menghargai seni dan budaya bangsa.


Cara penghakiman juga perlu dilihat semula. Mungkin ada cara lain atau aspek-aspek penilaian lain yang boleh diperhatikan. Selamatkan sayembara yang semakin suram saban tahun. Kalau betul kita cintakan puisi, carilah suatu pembaharuan dengan serius.


Mungkin juga perlu ada penganjuran baru puisi merdeka.

Salam



Salam buat semua. Blog ini sebenarnya belum 'dilahirkan'. Namun keperluan memaksa ia dilahirkan lebih awal daripada apa yang telah dirancang. Bagai bayi tak cukup bulan. Apa pun, tunggulah bahan-bahan yang dalam perancangan itu nanti 'dilahirkan' semula. Salam paling ikhlas buat semua. Ikhlas hari ini tidak lagi jauhhhhh... Blog menjadikan kita dekat.